Tuesday, 28 May 2013

Senyum..



Saya terbaca satu artikel yang sangat menarik. Mungkin jiwa-jiwa daie perlu faham benda ni, so saya nak kongsi sedikit isinya. Bagi yang stress, banyak program ditambah lagi dengan esaimen yang masih banyak tertangguh, Walau seberat manpun ujian yang anda terima, cubalah untuk senyum. Mungkin itu tarbiyah buat anda.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


“Saya lihat, kalian yang aktif dalam kerja-kerja Islam ini wajahnya stress belaka. Senyum pun macam tak senyum” saya mengomel.


Maklum sahaja, perjalanan yang jauh memberikan banyak masa untuk kami berbual.


“Kenapa ya?” kata sahabat saya yang memandu.


“Hah, kenapa ya? Sepatutnya saya yang tanya dan antum yang menjawab” saya ketawa kecil.


Lebih menimbulkan persoalan, karakter yang tertekan sebegitu bukan semulajadi. Sebelum kenal usrah, sebelum faham Tarbiyah, sebelum terlibat dengan dakwah, orangnya ceria-ceria belaka. Mengapa selepas mendapat kesedaran Islam, individu-individu ini berubah?


Atau apakah memang sepatutnya begitu?


Saya tidak rasa begitu.


BENARKAH ISLAM PENUH TEKANAN?


Stressful, tertekan, bukanlah apa yang saya kesan pada jiwa dan watak Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam dan para sahabat ridwanullah alayhim. Mereka tegas, namun mereka juga lucu, tenang, manusia biasa. Seimbang.


Bakr ibn ‘Abdullah menceritakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah radhiyallahu anhum bergurau membaling-baling tembikai sesama mereka. Tetapi apabila tiba urusan yang penting, mereka menjadi lelaki-lelaki yang sejati” [Al-Adab al-Mufrad oleh al-Bukhari no. 266]


Apabila aktivis dakwah sentiasa tertekan, jauh sekali untuk mereka kreatif. Sukar sekali untuk bersungguh dalam meneroka. Kerjanya pun boleh jadi asalkan siap. Setiap tugasan yang diberi, menambah tekanan, bukan keseronokan.


Situasi seperti ini merbahaya. Jika dahulu, jemputan menyertai gerak kerja dakwah adalah berkisar tentang persoalan memahami dalil-dalil kewajipan dakwah dan sejauh mana kemahuan melaksanakannya. Tetap kini ia dicabar dengan cara hidup yang bertentangan dengan kehendak dakwah. Generasi muda selesa berada dalam dunia peribadi yang disokong oleh ipod (lagu pilihan sendiri), PSP (permainan pilihan sendiri dan bermain seorang diri) serta jaringan sosial (bersosial dalam situasi menyendiri). Tiba-tiba dakwah mengajak mereka keluar daripada zon selesa kepada zon mencabar.


Jika cabaran itu menjanjikan keseronokan, Alhamdulillah.


Tetapi kalau cabaran itu menjanjikan tekanan, kemurungan dan hilang keseronokan, susahlah hendak bekerja. Dakwah juga yang jadi mangsa. Umat juga yang menanggung ruginya.


“Saya sekadar memerhati. Dekat sangat, tak nampak seperti batang hidung sendiri. Jauh sangat, sampai sudah bercerai kaitan antara generasi” saya menokok kisah.


Tidaklah terlalu senior.


Namun sudah tidak muda lagi.


“Apa pemerhatian ustaz?” tanya beliau.


IMPAK PSIKOLOGI


Kita sering menginspirasikan prospek dakwah kepada menerima tugasan dakwah, dengan melihat cabaran serta kesusahan orang lain. Melihat kemungkaran yang berleluasa. Lalu ayat-ayat ajakan kita penuh dengan REALITI.


“Cuba anta tengok, betapa teruknya masyarakat kita sekarang. Kemungkaran di mana-mana. Kita kena buat sesuatu. Takkan nak tunggu sampai Malaysia jadi macam Bosnia? Macam Lebanon? Macam Syria?” ujar kita dalam muqaddimah dakwah.


“Kita bukan nak ajak sampai menggadai nyawa mati syahid macam di Palestin. Kita cuma nak ajak buat kerja dakwah sama-sama. Minta sikit sahaja masa. Takkan itu pun tak boleh?” kita menambah lagi.


Ajakan itu realistik.


Itulah realitinya.


Namun realiti itu ada blind spot yang perlu diuruskan.


Menceritakan musibah orang lain, sering kita lakukan, demi memotivasikan diri agar lebih bersyukur serta melihat upaya diri untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik. Peluang lebih banyak, modal lebih besar, ujian jauh lebih kecil, sepatutnya boleh buat lebih lagi.


Akan tetapi itu logik kita.


Logik orang murung tidak begitu.


Semua cerita kekurangan orang lain, yang sepatutnya memotivasikan diri, menambahkan kemurungan dirinya!


“Teruknya aku. Orang Palestin sanggup mati. Aku, cintakan dunia. Malas nak berusaha. Aku memang hampeh!” kata prospek dakwah itu.


The Exhibit A of Loserdom!


Dia menjadi bertambah murung.


Ia adalah lingkaran pemikiran yang negatif (the spiral of negative thoughts).


Sesungguhnya kemurungan bukan perspektif. Ia adalah satu penyakit. Suatu kondisi jiwa dan pemikiran yang menyulitkan sesuatu yang positif dipandang positif dan negatif boleh diubah menjad positif. Apa yang berlaku ialah, segala-galanya menjadi lebih negatif. Pujuk pun negatif, marah pula lagilah bertambah negatif. Semua keterangan, menjadikan seseorang yang murung itu lebih pathetic!


Kebiasaan memulakan langkah dakwah dengan beban-beban jangkaan seperti ini, menyebabkan suasana dakwah dilanda kemurungan. Mereka yang menyertai dakwah ditimpa dengan kegelisahan (anxiety) bahawa dia tidak melakukan yang terbaik, dan tidak pernah mencapai yang terbaik.


Diburu anxiety. Gelisah takut dengan apa kata senior. Bimbang tidak menepati piawaian yang dicipta sendiri.


Justeru seruan kepada dakwah, perlu diusahakan agar beban-beban itu dihindari.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


setakat itu yang mampu.. :D

Sunday, 26 May 2013

Nikmat Ukhuwwah...

Kadang -kadang terfikir,kalaulah Allah tak temukan aku dengan kalian, pasti juga Allah temukan aku dengan yang lain. Tapi nak cakap disini pertemuan kita adalah takdir.
Disini kita bina tautan, disini kita bina kasih sayang. Walaupun ada perkara yang kita berbeza, ada perkara kita tak sama namun ikatan ukhuwah itu selalu mendahului segalanya.

Hidup aku mungkin tak seperti kalian, dan hidup kalian juga tidak seperti aku
Selalu saja diri ini berhajat, membawa kalian bersama-sama untuk merasai perjalanan hidupku ini, bukannya kerana seronok tapi bukankah ukhuwah mean "sharing itu loving?"

Aku nak kongsi satu perkara tentang diri aku. Aku sering kehilangan barang yang dihadiahkan oleh orang sekeliling aku. Dulu, aku pernah dapat jam dari kakakku, tapi aku hilangkan,aku pernah dapat jam juga daripada abangku tapi aku rosakkanya.

Terlintas juga difikiran, mungkin aku tidak pernah hargai pemberian itu, sehinggakan aku tidak boleh menjaganya dengan baik.
Bila diterjemah dalam bentuk pemberian sahabat daripada Allah. Adakah ianya harta yang patut aku hilang dan rosakkan?

pastinya tidak.
Aku sedar dan percaya, pertemuan ini adalah nikmat.
Nikmat yang perlu dihargai.

Kata Umar al-Khatab;
“Tidak ada suatu pun yang paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh. Apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka peganglah ia dengan sungguh-sungguh”

Terkadang juga, aku berfikir, kalaulah pertemuan itu takdir, pasti Allah juga tetapkan perpisahan.

"Lebih baik aku tidak pernah berjumpa dengan kalian kalau diakhirnya kita kena hadapi perpisahan"

Pernah terfikir benda ini, namun inilah realitinya yang perlu dihadapi. Mungkin kita akan berpisah pada zahirnya, tapi tidak pada batinnya. Moga ukhuwwah ini terus kekal hingga kita sama-sama melangkah masuk ke pintu syurga.