Monday, 7 January 2013

Politik, Islam dan Pilihanraya Malaysia 1980-an - 2008



PENDAHULUAN
Politik merupakan salah satu cabang daripada ilmu. Menurut perspektif Islam, perkataan politik berasal daripada istilah Arab yang disebut sebagai siasah.[1] Politik dalam sistem kepimpinan Islam adalah berdasarkan tiga perkara iaitu tauhid, risalah kerasulan Muhammad dan khilafah.
Pemikiran politik Islam mempunyai hubungan agama dan negara. Penyatuan agama dan negara yang bermaksud pemerintahan negara didasari dengan kedaulatan dan syariat. Kenapa agama dan politk disatukan? Islam dan politik sering dipersepsikan oleh umat Islam sebagai sesuatu yang integral dan meyatukan.[2] Islam itu sebagai agama yang lengkap dan menyeluruh. Oleh yang demikian, kesemua urusan manusia termasuklah urusan politik termasuk dalam urusan agama Islam. 
Rasulullah tidak pernah memisahkan antara urusan politik dengan kehidupan. Konsep penyatuan agama dan politik dalam Islam sebenarnya nampak jelas terbentuk setelah tidak lama Nabi Muhammad s.a.w wafat walaupun pada hakikatnya konsep ini sudah wujud semasa nabi Muhammad menjadi ketua negara..
Tertegaknya negara Islam sebenarnya mempunyai beberapa syarat. Antaranya,  negara yang berfikrah iaitu negara yang pemimpin dan rakyatnya memahami konsep dan tasawur Islam yang jelas, bahkan pemimpin yang dipilih adalah pemimpin dalam kalangan yang amanah yang mampu melaksanakan syariat Islam. Tertegaknya negara Islam juga dipengaruhi oleh siapa yang memegang tampuk kepimpinan di atas iaitu pemerintah kerana pemerintah yang membawa Islam secara jelas akan menyebarkan pengaruh dengan mudah dan mudah mengajak masyarakat mendekati Islam.

ISI-ISI PENTING
Islam dan Demokrasi
Islam kemudiannya menjadi ideologi politik bagi masyarakat. Islam memerintah adalah untuk menegakkan negara dan menerapkan aturan-aturan berdasarkan hukum-hukum Islam. Tegaknya negara Islam adalah satu-satunya cara yang disyariatkan untuk menerapkan hukum-hukum Islam
Dalam konteks Malaysia, corak pemilihan pemimpin untuk menerajui negara dibuat atas tiket demokrasi dan pilihanraya. Pemilihan dibuat oleh rakyat melalui proses pengundian bagi menaikkan seseorang pemimpin.
Demokrasi berasal daripada dua perkataan Greek atau Latin, bahasa purba di Barat iaitu Demos dan Kratos yang bermaksud rakyat dan kuasa. Hal ini bermaksud rakyat berkuasa dalam hal pemerintahan atau politik.[3] Demokrasi mengalami perubahan sepanjang masa mengikut keadaan politik di tempat tersebut.[4]
Konsep demokrasi, sebelum ini mendapat hujah daripada pihak tertentu yang beranggapan demokrasi merupakan konsep yang diperkenalkan di negara Barat. Antara isu yang dikemukakan tentang demokrasi iaitu kedaulatan dalam negara demokrasi terletak kepada rakyat terletak kepada  padahal kedaulatan itu sebenarnya terletak kepada Allah.  Namun para ulama’ sepakat menerima corak demokrasi dalam pemerintahan atas beberapa sebab iaitu berpegang kepada beberapa prasyarat atau asas hukum seperti mubah dan memberi penekanan kepada senarai keutamaan, maka kewujudan parti-parti politik yang mengambil bahagian adalah dibenarkan dalam Islam. Namun demikian parti-parti politik ini seharusnya berhati-hati. Selain itu, perlu diketahui sama ada pilihanraya yang ingin diadakan perlulah benar-benar mengikuti tuntutan sebenar aspek-aspek persaingan.
Pilihanraya
Pilihanraya dilihat satu asas dan cara dalam perlaksanaan demokrasi. Ini membolehkan kuasa diberi kepada rakyat iaitu rakyat diberi peluang mengundi bagi memilih wakil dan kerajaan. Dalam kepimpinan Islam ia lebih dikenali sebagai baiah. Baiah ini bermaksud penyataan sikap yang menyokong dengan ikhlas dan redha. Pilihanraya yang wujud di kebanyakan negara sekarang dilihat sebagai salah satu medan perlumbaan merebut jawatan. Menurut Al-Maududi, pilihanraya moden dibenarkan asalkan tidak ada unsur korup yang menjadikan demokrasi moden itu satu kepalsuan semata-mata.[5] Pilihanraya mempunyai sistem bagi memastikan pilihanraya dikendalikan secara adil dan sistematik antaranya pengendali pilihanraya.
Pengendali pilihanraya ialah satu badan berkecuali yang melaksanakan pilihanraya yang berfungsi memastikan proses pilihanraya berjalan dengan lancar dan sebagainya. Badan ini perlu dan wajib ditubuhkan. Di Malaysia, badan tersebut dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihanraya yang perlu dipilih dibawah Majlis Raja-Raja. Selain itu, Undang-undang pilihanraya juga perlu diwujudkan. Undang-undang dikenakan kepada pengundi atau calon atau mana-mana pihak yang tidak mengikuti peraturan. Sistem seterusnya ialah daftar pemilih. Pendaftaran perlu disediakan kepada sesiapa yang berhak mengundi. Orang yang tidak layak mengundi seperti tidak cukup umur dan tidak sempurna akal dan lain-lain tidak dibenarkan mengundi. Selain itu, calon dan persempadanan semula juga menjadi salah satu sistem dalam pilihanraya. Persempadanan haruslah dilakukan dengan melihat kepada keluasan atau jumlah penduduk disesuatu tempat.
Islam sebagai wahana
Kejayaan Rasulullah mendirikan negara Islam iaitu Madinah al-Munawarrah memberi bukti bahawa Islam boleh memerintah walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama. Perjanjian yang dibuat antara orang Islam dengan bukan Islam memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Rasulullah mendirikan negara dengan menjadikan Islam sebagai dasar dan meletakkan al-Quran dan Sunnah di tempat yang paling atas dan menjadi rujukan.
Dalam konteks Malaysia, masih banyak kecelaruan, sama ada negara ini merupakan negara Islam ataupun bukan. Semasa zaman Tunku Abdul Rahman dahulu, Tunku mengatakan bahawa Tanah Melayu bukanlah negara Islam atas faktor tertentu, namun selepas Tunku Mahathir memegang tampuk, beliau mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam dan pada waktu itu, banyak dpembangunan berkaitan Islam telah dibangunkan.
Negara Islam sebenarnya tertegak jika tampuk pemerintah atasan atau pemerintah adalah dalam kalangan orang yang benar-benar ingin membawa Islam dan menjadikan Islam sebagai matlamatnya. Tampuk pemerintahan tersebut hanya diperolehi dengan jalan pilihanraya kerana pemerintahan negara Malaysia bercorak demokrasi.
Perintah Allah dalam al-Quran iaitu menjadikan khalifah di muka bumi ini menjadi teras penting pembentukan sesebuah negara. Oleh sebab khalifah Islam telah tiada bermula selepas kenaikan Kamal Attartuk 1924, misi menaikkan semula institusi khalifah telah berlaku di seluruh negara termasuk Malaysia. Mendapatkan institusi khalifah dan mendirikan negara Islam ini dilakukan dengan pelbagai cara. Contohnya dengan perperangan dan  pilihanraya. Kemenangan Dr. Mursi di Mesir melalui proses pilihanraya menandakan bermulanya pemerintahan Islam di dunia Mesir.
Islam memang tidak memisahkan antara agama dan politik. Politik merupakann satu wasilah atau jalan yang boleh membawa kepada maksud tercapai matlamat memartabatkan agama.[6] Sehubungan dengan itu, orang yang mempunyai kuasa politik harus memahami bahawa kuasa tersebut merupakan amanah yang akan disoal oleh di akhirat nanti.[7] Proses menegakkan Islam dalam negara Malaysia  memerlukan agenda yang sistematik bagi meraih undi dalam pilihanraya. Menjadikan Islam sebagai wahana politik bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya merupakan satu isu besar yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana ada yang menganggap bahawa parti-parti politik yang bertanding sering menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih undi.
Politik satu wasilah untuk mencapai kedaulatan Islam dan parti-parti yang bertanding mempunyai matlamat tersendiri bagi memastikan parti mereka sentiasa dihadapan. Islam sangat penting sebagai wahana dalam mencapai matlamat poltik melalui proses pilihanraya kerana melalui pilihanraya Islam boleh ditegakkan bagi sesetengah negara yang bersistemkan demokrasi. Di India misalnya, pada awal abad ke-20, India diwarnai dengan beberapa aliran pemikiran dan antara kumpulan politk yang berpengaruh ialah India National Congress. Umat Islam menyokong parti ini kerana tertarik dengan sikap pemimpinnya iaitu Mahatma Ghandi. Namun, Al-Mawdudi tidak berminat dengan parti tersebut kerana bimbang komponen Islam yang ada dalam parti tersebut akan hilang kerana didominasikan oleh Hindu. Kemudian, Al-Mawdudi menubuhkan Jamiat Islami kerana berhasrat mewujudkan negara Islam dan akhirnya berjaya menarik perhatian ramai orang untuk menganggotainya serta membantu menyumbang ke arah merealisasikan hasratnya. Disini, kita dapat lihat bahawa komponen Islam itu merupakan satu tarikan bagi manarik hati rakyat kerana rakyat percaya dengan Islam akan membawa pembangunan dan kebajikan kepada mereka selain daripada sikap-sikap ahli yang ada di dalamnya.
Pilihanraya Malaysia pada tahun 1980-an hingga 2008
Di Malaysia, parti-parti politik yang ada juga terutama United Malays National Organisastion UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia PAS merupakan parti dominan yang membawa agenda Islam dalam pilihanraya. Agenda Islam Yang dibawa kemudiannya telah memberikan hasilpositif kepada parti-parti tersebut.
Pilihanraya kali ke-6 pada tahun 1982, sewaktu pemerintahan Tun Dr. Mahathir, beliau telah membawa dan mengubal dasar penerapan nilai-nilai Islam. Pada waktu ini, Anwar Ibrahim yang sekarang ini mengetuai Parti Keadilan Rakyat PKR telah dibawa masuk oleh Tun. Mahathir bagi mengetuai agenda ini. Dasar ini telah berjaya membangunkan Islam dalam sektor awam seperti pendidikan dan perbankan iaitu kewangan Islam. Di sekolah-sekolah, subjek pendidikan Islam diberi penekanan dan amalan bacaan doa semasa perhimpunan mula diterapkan. Ramai yang melihat bahawa agenda ini berselindung di bawah agenda politik untuk menarik undi daripada orang Melayu Islam dan mengekang pengaruh parti PAS. Rakyat yang melihat agenda ini sebagai satu perubahan yang sangat baik daripada pemerintahan sebelumnya memberi komitmen undi yang akhirnya menyumbang kepada kemenangan undi UMNO semasa pilihanraya kali ke-7.
Pilihanraya kali ke-7, 1986, hala tuju yang dibawa oleh PAS dibawah kepimpinan Ulama dan dengan pelbagai program agama yang dianjurakan juga telah membantu PAS meraih undi dan pada tahun 1990, sewaktu pilihanraya kali ke-8, Pas membawa slogan “Membangun Bersama Islam” telah berjaya memikat hati rakyat dengan memenangi 39 kerusi pada pilihanraya tersebut. Ini juga disebab oleh rakyat yang Kelantan menginginkan Islam, menyebabkan ramai yang tertarik dengan slogan ini.
Isu Islam sebagai alat politik yang berlaku timbul daripada kedua-dua pihak parti kerajaan dan pembangkang dan isu ini sangat popular juga dalam pilihanraya yang berlaku dari 1999 hingga 2008. Jika Islam menjadi dasar,seharusnya Islam dirujuk dalam semua perkara. Bagi parti-parti politik amat penting untuk meraih undi, bahkan dalam apa cara sekalipun termasuk menggunakan Islam. Penggunaan isu Islam ini tidak dinafikan memberi kesan dalam pilihanraya yang telah diadakan. Dalam pilihanraya kali ke-11 juga misalnya, kita sedia maklum, isu Islam Hadhari sangat popular suatu ketika dahulu yang mana isu ini menjadi asbab Parti Barisan Nasional terutama UMNO meraih banyak kerusi. Islam Hadhari yang dibawa oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu memegang tampuk kerajaan. Islam Hadhari ini diisytiharkan semasa waktu hampirnya Pilihanraya kali ke-11 iaitu pada tahun 2004. Tun Abdullah memperkenalkan 10 prinsip yang terkandung dalam Islam Hadhari yang merujuk kepada nilai-nilai murni dalam Islam dan perlu diterapkan dalam budaya kerja. Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan semasa awal tampuk pemerintahan dan awal pilihanraya dilihat sebagai salah satu cara untuk menarik semula undi orang Melayu yang semakin merosot semasa pilihanraya sebelumnya iaitu kali ke-10 iaitu ketika berlakunya pemecatan terhadap Anuar Ibrahim dan pada waktu itu juga berlaku kekacauan dalaman dalam Barisan Nasional.  Jadi, Islam Hadhari dilihat sebagai cenderung bertujuan mencapai matlamat politik bagi memenangi pilihanraya. Walaupun pihak parti  pembangkang mengkritik tentang Islam Hadhari yang dibuat oleh kerajaan, namun kemenangan telah berpihak juga kepada parti kerjaan dengan undi yang cukup besar.
Semasa pilihanraya kali ke-12, Barisan mengalami kejatuhan yang paling teruk selama pilihanraya. Walaupun Barisan memenangi 140 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, tapi hakikatnya, buat kali pertama Barisan Nasional tidak berjaya menduduki 2 per 3 kerusi dalam Dewan Rakyat.[8] Kemerosoton undi Barisan Nasional telah memberi kesan terhadap pendekatan Islam Hadhari dan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi bercakap tentang Islam Hadhari selepas pilihanraya tersebut. Malahan ada yang mengatakan Islam Hadhari menjadi faktor penyumbang kemerosotan kerusi kerana berpendapat ada unsur-unsur dalam Islam Hadhari ini tidak boleh diterima oleh rakyat selain daripada peranan parti pihak pembangkang yang cuba memberi sebaran tentang Islam Hadhari yang dilihat tidak perlu dilaksankandan ini menimbulkan kesan fobia kepada masyarakat terhadap ideology tersebut. Namun, kita dapat lihat disini, bahawa Islam telah menjadi alat penting bagi meraih undi dalam pilihanraya sehingga memberi menang besar kepada pihak kerajaan pada pilihanraya ke-11.
Begitu juga tentang isu hudud yang sering diwar-warkan sekarang. Sesetengah pihak mengatakan hudud yang ingin dilaksanakan oleh pihak pembangkang iaitu PAS, akan menyebabkan ramai akan mengalami pengangguran dan negara juga akan mengalami korupsi dan parti tersebut akan mengalami kemerosoton undi terutamanya pengundi bukan Islam. Namun begitu, parti ini menafikan hudud hanya menjadi alat tetapi sebenarnya ingin menjadikannya dasar kerana matlamat mereka yang dikatakan ingin menegakkan negara Islam.

KESIMPULAN
Islam sangat penting sebagai wahana mencapai matlamat politik melalui pilihanraya pada tahun 1980-an hingga 2008. Hal ini jelas kelihatan dalam contoh-contoh yang telah diberikan. Kita melihat bahawa isu Islam ini sangat penting bagi meraih undi bagi sesebuah parti terutama di tempat-tempat yang mahukan Islam. Islam sebenarnya merupakan satu matlamat dalam politik dan politik merupakan wasilah bagi mencapat matlamat tersebut. Bahkan Islam sendiri merupakan satu dasar yang perlu ditegakkan bukannya hanya sekadar dijadikan sebagai alat sahaja semata-mata untuk meraih undi dan mencapai kemenangan dalam pilihanraya. Kesedaran terhadap Islam yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat pada masa ini mendorong mereka memilih parti yang mereka lihat mampu membawa Islam dan membangunkan ummah.



[1] Ahmad Redzuwan, Demokrasi dan Kepimpinan Islam, Suatu Perbandingan, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.,2003, hlm 71
[2] Mujar Ibn Syarif & Khamami Zada, Fiqh Siyasah, Doktrin dan Pemikiran Politik Islam, Produksi Penerbit Erlangga, 2008, hlm 79
[3]  Abdul Hadi Awang, Islam dan Demokrasi, Selangor: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.,2007, hlm 59
[4] Abdul Hadi Awang, Islam dan Demokrasi, hlm 59

[5] Ahmad Redzuwan, Demokrasi dan Kepimpinan Islam, Suatu Perbandingan, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.,2003, hlm 71

[6] Abdul Ghafar Don, Integrasi Politik Dan Dakwah, Dakwah dan Etika Politik Di Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd., 2005, hlm 15
[7] Abdul Ghafar Don, Integrasi Politik Dan Dakwah, Dakwah dan Etika Politik Di Malaysia Dakwah dan Etika Politik Di Malaysia, hlm 15
[8] M.R. Othman, 2008, Persepsi Terhadap Pendekatan Islam Hadhari dan Kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Kali ke-12, Shah Alam : Pusat Penerbit Universiti, hlm 445